SEJARAH SUKAN RAGBI TENTERA DARAT

Posted by Blogger Malaya | 6:53 AM | | 0 comments »


1. Sejarah awal penubuhan ragbi di dalam Tentera Darat bermula disekitar tahun 1936, apabila sekumpulan pegawai dan anggota daripada Tentera British yang bertugas di Tanah Melayu berusaha membentuk tim ragbinya sendiri. Tim tersebut dikenali sebagai Army Malaya dan memulakan langkah pertamanya menyertai pertandingan All Blues Cup pada tahun yang berikutnya.

2. Pengembangan tim tersebut telah terhenti untuk seketika ketika Tanah Melayu dikuasai oleh Tentera Jepun. Idea serta usaha penubuhan semula tim ragbi Tentera Darat telah mendapat nafas baru melalui penubuhan Malaysian Armed Forces Rugby Union pada tahun 1960. Pada ketika itu, ragbi menjadi sukan keutamaan di dalam setiap kor di dalam Tentera Darat. Namun begitu, tiada sebarang usaha untuk menyatukan para pemain ini untuk menjadi sebuah tim yang membawa imej dan kegagahan Tentera Darat.

3. Di dalam Tentera Darat, sukan ragbi mula mendapat tempat dan menjadi sukan teras pada tahun 1968 apabila tertubuhnya Armed Forces Apprentice Trade School (AFATS), Port Dickson yang diteraskan oleh Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja. Pada ketika itu, Kapt Wong Hin Jee (bersara Kol) yang ketika itu memegang jawatan sebagai Senior Military Training Officer (SMTO) telah menjadi penggerak kepada penyatuan para pemain ragbi bagi setiap kor dan seterusnya menjadikan AFATS sebagai Pusat Latihan dan Kecemerlangan Ragbi Tentera Darat. Setahun selepas penubuhan AFATS, tim ragbi telah mula menyertai kejohanan di peringkat negeri dengan menyertai acara Negeri Sembilan Schools Rugby Competition (NSSRC) dan kejohanan Malaysian Schools Rugby di Ipoh, Perak pada tahun 1969 dan 1970.

3. Semenjak awal penubuhannya, Tim Ragbi Tentera Darat terus berkembang dan menunjukkan belangnya serta mula dikenali disekitar rantau ASEAN serta negara-negara Komenwelth. Kecemerlangan tim berkenaan terus digilap dan diwarnai dengan penyusunan semula tim berkenaan ke dalam Sekolah JLJ pada tahun 1985. Pengurus Tim Ragbi Tentera Darat pada masa tersebut, Kapt Mohammad Taib bin Tahir (Jurulatih Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Sekolah JLJ) telah bertindak effisyen bersama-sama dengan ............. Kpl Shamsudin bin Abu Bakar sebagai Jurulatih, memulakan usaha gigih menaikkan imej tim berkenaan.

4. Usaha tersebut tidak sahaja tertumpu kepada para pemain senior yang sedia ada, malahan telah memilih serta melatih anggota-anggota pelapis terutamanya dari kalangan penuntut Sekolah JLJ dan AFATS. Pelapis yang dikenalpasti berpotensi serta mempunyai asas permainan ragbi, telah diketengahkan bagi menjalani latihan pusat dan seterusnya mewakili Sekolah JLJ ke Pertandingan Peringkat Tentera Darat, Angkatan Tentera Malaysia dan ke peringkat Negeri.

5. Hasil kesungguhan dan kegigihan kedua-dua individu berkenaan yang turut dibantu oleh beberapa pegawai dan anggota daripada Sekolah JLJ, tim ini telah dapat melahirkan ramai pemain yang berbakat serta mampu untuk bersaing di peringkat Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya. Hakikatnya, idea pengembangan Tim Ragbi Tentera Darat tersebut telah menjana ilham terhadap penubuhan Tim Ragbi Tentera Darat pada tahun 1988. Diilhamkan oleh Pegawai Memerintah pasukan 91 Woksyop Pusat Angkatan Tentera pada ketika itu, Leftenan Kolonel Wong Hin Jee telah bertindak mencadangkan Tim Ragbi Kor JLJ Diraja. Beliau yang dibantu oleh Jurulatih Ragbi Tentera Darat ..............Sjn Shamsudin bin Abu Bakar telah memulakan langkah pertamanya dengan penuh bergaya apabila menjuarai Kejohanan Ragbi Antara Kor dan Rejimen Tentera Darat buat kali pertama pada September 1988 menewaskan RAMD diperlawanan akhir. Kejayaan demi kejayaan terus didominasi oleh Tim Ragbi Kor JLJ Diraja malahan skop kejayaannya terus diperluaskan kepada Tim Remaja Ragbi Tentera Darat (bawah 23) dan menjadi johan diperingkat Kejohanan Ragbi Bawah 23 Tahun Peringkat ATM pada tahun 1990. Pada tahun yang sama juga Tim Ragbi Tentera Darat ini terus menggungguli hampir kesemua kejohanan seperti 10 Sepasukan TD dan Johan 7 Sepasukan ATM.

6. Dewasa ini dengan segala rekod kecemerlangan dan kejayaan Tim Ragbi Kor JLJ Diraja telah diberikan kepercayaan penuh menerajui serta menguruskan Tim Ragbi Tentera Darat. Pelbagai pengalaman pahit manis dan rekod-rekod kecemerlangan Tim Ragbi Tentera Darat menjuarai banyak kejohanan samada di peringkat TD, ATM, Negeri dan Kelab-Kelab Kebangsaan diabadikan di dalam laporan ini. Dengan Perancangan dan pengurusan yang rapi Tim Ragbi Tentera Darat khasnya dan Tim Ragbi Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja amnya akan terus mengorak langkah dengan selain turut mengharumkan nama TD di peringkat Angkatan Tentera Malaysia, Negara dan di pesada dunia amnya.

0 comments