ANTARA LIGA SUPER- KRM 2009 DAN JATUH BANGUN PASUKAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 25 Feb 2009 – Lapan kelab terbaik ragbi kebangsaan bakal beraksi bagi merebut kejuaraan Liga Super-KRM 2009 yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mac sehingga 18 April ini. Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sudah menamakan pasukan-pasukan yang layak beraksi seperti NS Wanderers, SRC Eagles, Cobra, Alor Setar Blues, RMAF Blackhawk, Kor JLJ DiRaja dan Bandaraya Dragons di kejohanan antara kelab yang paling berprestij itu. Kejohanan ini juga adalah sebagai gelanggang pemanas badan dan persiapan pemain-pemain negara sebelum memikul tugas yang lebih berat di Kejohanan HSBC Asian 5 Nations yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Jun nanti.

Menurut KRM lagi, pasukan yang layak untuk bertanding telah di pilih berdasarkan keputusan Kejohanan Antara Kelab Kebangsaan (NICC) musim 2008. Sekiranya berlaku penarikan diri di antara lapan pasukan ini, KRM telah membuat keputusan untuk memilih daripada 2 lagi pasukan tambahan iaitu RMR Warrior atau Polis Bersatu sebagai pasukan gantian untuk melengkapkan 8 pasukan bertanding.

HSBC Asian Five Nations

Kejohanan HSBC Asian 5 Nations 2009 adalah di antara Malaysia, China, India dan Pakistan. Kejohanan yang sama tahun lalu telah memperlihatkan pasukan Malaysia berjaya menewaskan Pakistan dengan mata 30-05 tetapi turut juga kecundang di tangan tuan rumah Thailand. Pada ketika ituThailand telah berjaya membenam Malaysia dengan mata 30-07.

India dilihat bakal mencari peluang untuk bertemu Malaysia pada tahun ini setelah mereka gagal pada tahun lepas di Army Stadium Bangkok. India telah tewas di tangan Thailand namun mereka telah bangkit semula menewaskan Pakistan dengan rekod mata yang terbesar setakat ini, 92-00.

Dalam membariskan pemain-pemain terbaik dalam skuad negara, KRM tidak boleh memandang remah akan kemampuan India kerana skuad ragbi India akan cuba mencuri tumpuan umum dengan memperlihatkan kemampuan terbaik mereka untuk bertemu pasukan Malaysia termasuk memperbaiki kedudukan ranking mereka di IRB. Malah mereka telah membuat persediaan rapi sejak setahun lalu menjelang persiapan Commonwealth Games Delhi 2010 yang turut menyenaraikan sukan ragbi sebagai acara sukan yang dipertandingkan.

Kini Malaysia berada di ranking 78 manakala India di ranking 80. Semoga ranking ragbi negara akan meningkat ke kedudukan lebih baik menjelang bulan Julai nanti.



KEPUTUSAN HSBC A5N 2008, Bangkok, Divisyen II

Thailand vs India 30-22
Malaysia vs Pakistan 30-05
India vs Pakistan 92-00
Thailand vs Malaysia 30-07

0 comments